Halaman

Selasa, 24 Mac 2015

PENDAKWAH MASA KINI

PENDAKWAH MASA KINI
OLEH: MUHAMMAD HAZWAN BIN SHUKRI

             Semua Nabi dan Rasul membawa risalah tauhid iaitu ajaran agama meng-Esakan Allah SWT tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. Seterusnya agama yang diredhai-Nya ialah agama ISLAM. Justeru, Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi yang terakhir telah melengkapkan dan mendaulatkan agama Islam di muka bumi untuk seluruh umat manusia dan untuk digunapakai dalam semua zaman. Ini dapat kita fahami di mana sebelum Rasulullah SAW wafat, al-Qur'an menyatakan bahawa agama Allah telah disempurnakan, kecintaan Allah kepada semua orang yang beriman telah dilengkapkan dan kebenaran wahyu Allah akan terus dijaga. da’ie adalah sebagai penerus kepada tugasan yang diamanahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam erti kata kewajipan seorang da’ie itu adalah untuk menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dengan menyeru, mengajak atau memanggil manusia agar beriman dan taat kepada Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: Berkatalah benar sekali pun ia pahit”. (Riwayat Ibn Hibban)

Andai kata tanggungjawab da’ie ini diabaikan atau tidak dipedulikan, maka sudah pasti kita akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharajalela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak. Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 33:

Maksudnya:Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal salih, sambil berkata: Sesungguhnya aku dari orang Islam!

Pada abad ini umat Islam rata rata berhadapan dengan cabaran dunia global tanpa batasan. Ada yang bersifat dalaman dan ada pula yang bersifat luaran. Iblis, syaitan, manusia kafir, munafiq, dan golongan taghut yang berkepentingan sentiasa menjadi batu penghalang ke arah menyebarluaskan ajaran agama Allah ini. Hari ini cabaran Islamphobia, penyiaran rencana, berita dan komen-komen yang memburukkan Islam tidak henti-henti dilakukan oleh pihak pihak tertentu. Istilah-istilah jenayah, ganas, bermuslihat dan sebagainya digunakan terhadap Islam. Teknologi komunikasi terkini memungkinkan musuh Islam menyebarluaskan propaganda mereka dengan berkesan. Melalui filem, CD, VCD, television, satellite TV, internet, laman web, laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter dan sebagainya, disalurkan dengan berjuta-juta patah perkataan, imej, grafik dan diayah yang boleh mempengaruhi umat Islam. Mereka melancarkan serangan-serangan secara halus lagi tersusun dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya.
Justeru, dalam konteks cabaran anti Islam melalui teknologi maklumat yang hebat itu, maka menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam dan da’ie untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuklah media sosial bagi menangkis segala serangan, propaganda, tipu muslihat musuh-musuh Islam dan gerakan-gerakan yang menggugat kedudukan umat Islam khususnya di negara kita ini. Sebagai umat Islam dan da’ie perlulah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran semasa, jika tidak da’ie akan tewas dalam medan dakwah mereka. Para da’ie mestilah berwaspada dan senantiasa ingat bahawa perancangan musuh yang berstrategik akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Menurut Syeikh Taha Jabir al-Alwani, “kefahaman agama dan pengamalan agama perlu bersandarkan kepada wahyu pada satu sudut, dan kepada dinamik realiti dunia hari ini, pada sudut yang lain.Oleh itu, pengamatan syariat Islam perlulah digabungkan dari dua pembacaan, iaitu pembacaan dari sudut wahyu untuk menghargai hukum dan prinsip-prinsip dasar dan pembacaan dari situasi semasa bagi menghargai dan mengiktiraf nilai wahyu yang diturunkan.
Wahai golongan muda dan belia, marilah kita menarik nafas kesedaran dan nafas kebijaksanaan. Berfikir dan bertindaklah demi masa depan agama dan negara. Sedar dan berubahlah sebelum terlambat jika ada yang tersilap langkah. Jadilahkita benteng utama untuk mempertahankan kesucian agama, maruah bangsa dan kedaulatan negara.Usahlah kecenderungan kita kepada sesuatu fahaman itu mendorong kita hingga bertindak diluar batasan yang akhirnya agama dan negara kita sendiri yang akan tergadai. Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pihak musuh.
Umat Islam boleh menjadikan media baru seperti youtube, twitter, blog dan lain-lain sebagai medium dakwah untuk menyampaikan mesej yang betul dalam ajaran Islam secara meluas. Sebagai Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Selasa, 3 Mac 2015

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN AKIDAH

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN AKIDAH
OLEH : MUHAMMAD HAZWAN BIN SHUKRI

Ini merupakan beberapa perkara-perkara yang boleh merosakka akidah yang sering dilakukan oleh golongan remaja mahupun dewasa.  Amatlah penting mengetahui perkara-perkara ini supaya kita tidak mudah terjebak.
1.      Tangkal
Ia wujud dalam pelbagai bentuk.  Ada yang mengggunakan benang, tulang, kayu, dan sebagainya.  Ada yang diletakkan di pintu rumah, meletak gunting bawah bantal, digantung di leher, meletak surah yassin di sebelah ketika tidur dan sebagainya.

إٍنَ الرقى واللتماىم والتولة شرك
“Sesungguhnya jampi-jampi (yang syirik), tangkal, dan guna-guna (sihir yang selalu isteri kenakan pada suami) adalah syirik”. [ Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daub]

2.      Meniru Amalan Orang Bukan Islam
Rasulullah S.A.W bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم
“ Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.” [ Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud. Syeikh Albani mengatakan hadis ini sahih irwa’ul Gholil no. 1269]

Ini termasuklah merayakan sambutan atau budaya orang bukan islam seperti Krisma, Hallowen.  Termasuk juga meniru pakaian yang menjadi ciri khusus orang kafir, dan ciri khusus ajaran sesat seperti black metal, skinhead dan lain-lain.  Apa sahaja yang melambangkan orang kafir atau golongan fasiq hendaklah dijauhi.

3.      Percaya Kepada Sial
Rasulullah S.A.W bersabda:

لاعدوى ولا طيرة, ولاضفر, وفومن المجذوم كما تفرمن الاسد
Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai Kecelakaan) pada bulan safar, dan larilah kamu dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa [ sahih Al Bukhari secara ta’liq]

4.      Berjumpa Bomoh

من أتى كاهنا فصدقدبما يقول أو أتى امرأته حاىضا أو أتى امرأته في دبرها فقد بريء مما أنزل على محمد
Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad  (yakni Islam) [Sunan Abu Daud:3904]

Sesungguhnya hal-hal ghaib hanya diketahui Allah!


“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-jin 72:26-27]