Halaman

Rabu, 3 Julai 2013

Pandangan Syiah terhadap para sahabat.


Jika Rafidhah memaki hamun dan mengkafirkan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain dan berlepas diri dari mereka semua, maka Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah tidak berbeza daripada fahaman Rafidhah itu kerana kitab-kitab mereka yang mu`tabar penuh dengan caci maki dan riwayat-riwayat yang mengkafirkan para sahabat termasuk sahabat besar Rasulullah s.a.w. Di sini saya akan mengemukakan beberapa contoh dari kitab-kitab mereka sendiri.

Sebelum itu perlulah diketahui bahawa perselisihan pendapat ‘ulama’ hanya berlaku berhubung dengan kafir atau tidaknya orang yang mencaci dan memburuk-burukkan para sahabat tetapi mereka tidak berselisih pendapat tentang kafirnya orang yang mengkafirkan para sahabat agung Rasulullah s.a.w. seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan lain-lain. Tetapi Syi’ah di dalam kitab-kitab mereka jelas telah mengkafirkan para sahabat termasuk sahabat agung Rasulullah s.a.w. yang tersebut tadi. Menafikan perkara ini sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada di tengah langit atau perkara ini hanya dapat dinafikan oleh orang-orang yang buta mata hatinya seperti mana tidak bergunanya cahaya matahari yang terang benderang itu kepada orang yang buta matanya. Di sini saya akan kemukakan beberapa contoh daripada kitab Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah sendiri bahawa mereka mengatakan sahabat Rasulullah s.a.w. telah murtad sepeninggalan baginda. Pendapat mereka ini tidak berbeza dari dahulu sampai sekarang.

1. At-Thusi meriwayatkan di dalam Rijal Al-Kasyi bahawa Abu Ja’far (Muhammad al-Baqir) berkata bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Rasulullah kecuali Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. (Rijal Al- Kasyi jilid 1 halaman 6)

2. At-Thusi meriwayatkan lagi dari Humran katanya: “Aku berkata kepada Abu Ja’far: “Alangkah sedikitnya bilangan orang-orang kita sehingga kalau kita berkumpul untuk merebahkan seekor biri-biri pun tidak akan dapat.” Humran berkata: “Maka Abu Ja’far berkata: “Mahukah aku ceritakan perkara yang lebih aneh dari itu?” Humran berkata: “Ya.” Maka Abu Ja’far berkata: “Orang-orang Muhajirin dan Ansar telah pergi (murtad) kecuali tiga (dan beliau pun mengisyaratkan dengan tangannya).” (Ibid)

3. Diriwayatkan dari Abi Ja’far a.s: “Anak-anak Ya’qub bukan nabi tetapi mereka adalah asbath kepada anak-anak Nabi. Mereka tidak meninggalkan dunia melainkan dalam keadaan bahagia. Mereka telah bertaubat dan menyesal di atas apa yang mereka lakukan tetapi Abu Bakar dan Umar telah meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak menyesali apa yang telah dilakukannya terhadap Amirul Mu’minin Ali a.s. Mereka berdua dilaknat oleh Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.” (Al-Kulaini, Ar- Raudhah Min Al-Kafi, jilid 8, halaman 246)

4. Diriwayatkan daripada Abi Ja’far a.s. Kata beliau: “Para sahabat telah murtad sepeninggalan Nabi s.a.w. kecuali tiga orang daripada mereka.” Perawi bertanya: “Siapakah yang tiga itu?” Abi Ja’far menjawab: “Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.” (Ibid, halaman 245)

5. Ayatullah al-’Uzma Sayyid Murtadha al-Husaini al-Fairuzabadi di dalam kitabnya As-Sab’ah Min As-Salaf telah mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman, Abdul Rahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Mu’awiyah, Abu Sa’id al-Khudri, Bara’ bin ‘Azib dan lain-lain. (Lihat halaman 29,32,71,78,81,85, 107,120 dan 211)

6. Ayatullah al-Uzma Khomeini di dalam kitabnya Kasyfu Al-Asrar telah mengkafirkan Sayyidina Umar.(Lihat halaman 137 dan 176, edisi Arab dan halaman 119 dan 153 edisi Farsi) Beliau menganggap Abu Bakar dan Umar jahil tentang hukum Allah dan mereka menjadikannya sebagai bahan permainan kanak-kanak. (Halaman 110-111, edisi Farsi) Beliau juga menuduh Abu Bakar dan Umar mereka hadits atas nama Rasulullah s.a.w. (Halaman 131 dan 138 edisi Arab 114 dan 120 edisi Farsi)

Selasa, 2 Julai 2013

Masih rasa Syiah benar? Baca fatwa ini tentang Al Quran oleh ulama Syiah.



1. Orang yang mendakwa telah mengumpulkan al-Qur’an dengan lengkap adalah pembohong besar. Al-Qur’an sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah hanya dikumpul dan disimpan oleh Ali bin Abi Talib dan imam-imam selepasnya. (Al-Kulaini, Al-Kafi, jilid 1, halaman 228)

2. Al-Kulaini meriwayatkan lagi di dalam Al-Kafinya, bahawa Abu Husain Musa a.s. menulis surat kepada Ali bin Suwaid ketika beliau berada di dalam penjara; “Janganlah kamu mencari agama orang yang bukan dari kalangan Syi’ahmu. Janganlah sekali-kali kamu suka kepada agama mereka kerana mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati Allah dan rasul-Nya dan telah mengkhianati amanah yang telah diserahkan kepada mereka. Tahukah kamu apakah pengkhianatan yang telah dilakukan terhadap amanah yang diserahkan itu? Mereka telah diamanahkan supaya menjaga kitab Allah (Al-Qur’an) tetapi mereka telah memesongkannya dan menukargantikan isinya.” (Ar-Raudhah Min al-Kafi jilid , halaman 125)

3. Al-Kulaini menyebutkan lagi di dalam Al-Kafinya bahawa Hisyam bin Salim meriwayatkan dari Abi Abdillah (Ja’far as-Sadiq) bahawa beliau berkata: “Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan oleh Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. mengandungi sebanyak 17,000 ayat.” ‘Allamah Khalil al-Qazwini di dalam “As-Shafi Syarah Usul Al-Kafi”, Bab Kelebihan al-Quran (jilid 6, halaman 75), menghuraikan kata-kata Ja’far as-Sadiq yang tersebut di atas begini; “Kata-kata beliau itu bermaksud bahawa sebahagian besar al-Qur’an yang asal (yang dibawakan oleh Jibril a.s) telah digugur atau dihilangkan. Di dalam naskhah al-Quran yang wujud dan masyhur di kalangan orang ramai hari ini tidak terdapat ayat-ayat yang digugur dan dibuang itu.”

4. Kamaluddin Maitsam al-Bahrani menulis tentang pengumpulan al-Quran oleh Sayyidina Usman r.a. bahawa; “Beliau telah menyatukan orang ramai di atas qira’at Zaid bin Thabit sahaja dan membakar semua mushaf-mushaf yang lain. Beliau telah membatalkan (membuangkan) ayat-ayat yang tidak syak lagi merupakan sebahagian daripada al-Qur’an.” (Maitsam Al- Bahrani, Syarah Nahjul Balaghah, jilid 11, halaman 1)

5. Diriwayatkan dari Buraid al-Ijli dari Abi Abdillah (Ja’far Sadiq a.s.) katanya: “Allah telah menurunkan nama 7 orang dengan jelas di dalam al-Qur’an tetapi orang-orang Quraisy telah menghapuskan nama 6 daripada mereka dan meninggalkan nama Abu Lahab sahaja.” (Syeikh at-Ta’ifah al-Imamiyyah Abu Ja’far at-Thusi, Ikhtiar Ma’rifati Ar-Rijal, jilid 3, halaman 290)

Mirza Husain Muhammad Taqiy at-Tabarsi an-Nuri menulis di dalam kitabnya “Fashlul Khitab”; “Dalil yang ke-12 ialah riwayat imam-imam ma’sum berhubung dengan tempat-tempat tertentu di dalam al-Quran yang menunjukkan telah berlaku pengubahan dan tukar ganti pada kalimah-kalimah, ayat-ayat dari surah-surah al-Qur’an yang ada hari ini. Pengubahan dan tukar ganti seperti ini telah berlaku dengan banyak sekali sehingga Sayyid Nikmatullah al-Jaza’iri di dalam beberapa karangannya berkata: “Hadits-hadits daripada Imam-Imam Ahlul Bait yang menunjukkan adanya tukar ganti di dalam al-Qur’an, melebihi 2,000.”